BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

w-e-l-c-o-m-e


Tuesday, May 26, 2009

NOTA PEPERIKSAAN : PENTAKSIRAN BAHASA MELAYU BMM 3103

PENTAKSIRAN BAHASA MELAYU
BMM 3103
NOTA OLEH :
ZUL HAZMI HAMAD
3 PISMP PENGAJIAN MELAYU
IPGM KAMPUS TUANKU BAINUN.


A) PENTAKSIRAN


KONSEP DAN DEFINISI PENTAKSIRAN

Pentaksiran ialah satu proses mendapatkan maklumat dan seterusnya membuat penghakiman tentang produk sesuatu proses pendidikan. Pentaksiran merangkumi aktiviti menghurai, merekod, memberi skor dan menginterpretasi maklumat tentang hasil pembelajaran seseorang pelajar

Pentaksiran juga merupakan satu episod dalam proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor, dan mengintepretasikan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan.

Pentaksiran juga merupakan satu proses untuk mendapatkan gambaran tentang prestasi pembelajaran seseorang dalam sesuatu subjek atau aktiviti pembelajaran. Aktiviti pentaksiran dijalankan secara berterusan.


Dalam konteks sekarang istilah pentaksiran mula digunakan dalam membuat penilaian. Popham (2000) berpendapat istilah pengukuran, pengujian dan penaksiran digunakan silih berganti dan dianggap sebagai sinonim. Pentaksiran melibatkan proses membuat keputusan berdasarkan kepada suatu peraturan atau piawaian. Pentaksiran merupakan sebahagian daripada proses pembelajaran. Dalam konteks pendidikan juga pentaksiran dianggap sebagai suatu proses pembelajaran yang merangkumi aktiviti menghurai, mengumpul, merekod, memberi skor dan menterjemahkan maklumat tentang pembelajaran seseorang murid bagi sesuatu tujuan tertentu (Lembaga Peperiksaan Malaysia, 2000). Hasil pentaksiran dinyatakan dalam bentuk skor. Skor mestilah sah dan boleh dipercayai untuk memastikan keadilan kepada murid serta mengekalkan kewibawaan institusi pentaksiran


RUKUN PENTAKSIRAN

Berikut adalah merupakan rukun-rukun dalam sesuatu proses pentaksiran yang berlaku.

A ) Instrument
B ) Kumpulan yang ditafsir
C ) Respon
D ) Kumpulan yang menafsir
E ) Skor


TUJUAN PENTAKSIRAN


Proses pentaksiran sememangnya perlu dititik beratkan oleh para pendidik. Pentaksiran mempunyai banyak tujuan dan kepentingannya. Pertama, pentaksiran adalah proses bagi mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang murid di dalam pembelajarannya. Kedua, pentaksiran adalah untuk menilai segala macam aktiviti yang dijalankan semasa proses pengajaran dan pembelajaran berlangsung. Pentaksiran juga penting bagi mendapatkan maklumat secara berterusan berkaitan sesi pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan. Pentaksiran ini penting bagi guru untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada dalam sesi pengajaran dan pembelajaran. Selain itu, pentaksiran penting bagi seseorang guru dalam merancang segala aktiviti bagi tujuan proses pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan seseorang murid itu. Pentaksiran juga adalah penting bagi guru melibatkan semua atau sebahagian besar murid di dalam kelas secara efektif. Guru juga boleh merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul dengan berkesan dengan proses pentaksiran ini.

a)Mendapatkan gambaran tentang prestasi seseorang dalam pembelajaran
b)Menilai aktiviti yang dijalankan semasa pengajaran dan pembelajaran
c)Mendapatkan maklumat secara berterusan tentang pengajaran dan pembelajaran memperbaiki pengajaran-pembelajaran.
d)Merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang tersusun dan sistematik bersesuaian dengan tahap keupayaan murid.
e)Melibatkan semua atau sebahagian besar murid dalam kelas secara efektif.
f)Merancang dan melaksanakan aktiviti tindak susul yang berkesan.
g)Memperbaiki pengajaran dan pembelajaran

CIRI-CIRI PENTAKSIRAN

Proses pentaksiran mempunyai beberapa ciri pentingnya. Pertama, melibatkan skor. Skor pentaksiran yang baik perlulah mempunyai skor yang tinggi darjah kesahannya. Skor juga harus tinggi darjah kebolehpercayaannya. Ketiga, keobjektifan. Keobjektifan adalah ketepatan seseorang pemeriksa dalam memeriksa skrip jawapan. Keempat, kebolehtadbiran. Ia bermaksud kelicinan dan kerja-kerja susulan yang dilaksanakan secara berpusat atau berasaskan sekolah. Ciri kelima iaitu kemudahtafsiran. Ini bermaksud maklumat tentang seseorang calon berdasarkan skor, mendiskriminasikan calon, menepati tujuan mengadakan sesuatu ujian dan pentaksiran. Dan pentaksiran juga perlulah bersifat menyeluruh. Menyeluruh disini bermaksud ia mengandungi soalan-soalan yang mewakili semua objektif yang penting.

KAEDAH PENTAKSIRAN.

Terdapat tiga kaedah utama dalam proses pentaksiran, iaitu
A ) Pemerhatian
B ) Lisan
C ) Penulisan


A ) Pemerhatian

Didalam mentaksir mlalui kaedah pemerhatian ini, berikut merupakan antara element yang perlu diambil perhatian oleh seseorang guru.

· Sikap
· Pelakuan atau Amalan
· Amali
· Kemahiran Manipulatif
· Kemahiran Bersosial
· Kemahiran Belajar
· Kemahiran Reka Cipta

Selain itu juga, seseorang guru boleh melalukan pemerhatian kepada murid melalui hasil kerja seperti berikut.

· Lukisan
· Buku Skrap
· Kerja Kursus

B ) Lisan


Pentaksiran secara lisan ini dugunakan oleh para guru bagi mengumpul maklumat semasa berlakunya interaksi antara murid dengan guru, murid dengan murid, dan juga murid dengan bahan pembelajaran.

Berikut meruapakan contoh aktiviti pentaksiran yang boleh dilakukan oleh guru.

· SOAL JAWAB
· PERBINCANGAN DALAM KUMPULAN
· SYARAHAN
· BACAAN KUAT
· PERBAHASAN
· BERCERITA
· TEMU BUAL
· HAFAZAN
· DEKLAMASI SAJAK /
· PUISI
· PANTUN

C ) Penulisan

Guru melaksanakan aktiviti menyemak dan memeriksa tugasan hasil penulisan pelajar. Aktiviti penulisan ini boleh berupa soalan-soalan seperti berikut.

1. Soalan dalam bentuk objektif
2. Soalan dalam bentuk subjektif



B) PENGUJIAN


DEFINISI DAN KONSEP

Apakah pengujian? Pengujian bermaksud memperoleh maklumat dengan cara yang objektif dan bersistem. Jadi, banyak perkara yang dijalankan dalam bilik darjah dapat dikategorikan sebagai pengujian. Misalnya, ramai guru meminta murid-muridnya mengisi maklumat peribadi dalam suatu borang pada awal semester, dengan tujuan dapat berkenalan dengan muridnya. Dalam borang itu, antara perkara yang mungkin ditanya adalah hobi murid dan sebabnya mereka berminat dengan hobi itu. Persoalan seperti itu boleh dikategorikan sebagai pengujian. Pengujian juga biasanya melibatkan pengukuran. Menurut R.M Gagne dalam bukunya The Condition of Learning, pengujian ialah satu cara yang sistematik untuk mengukur perubahan tingkah laku seseorang individu. Di dalam sesebuah kelas, pengujian ini digunakan untuk mengukur perubahan tingkah laku yang berkaitan dengan aktiviti pembelajaran murid-murid. Ia merupakan sebagai sesuatu alat pengukuran dengan tujuan mendapat maklumat tentang pencapaian murid-murid daripada pelbagai bidang kognitif, psikomotor, ataupun afektif. Pengujian ini memerlukan murid menunjukkan secara eksplisit, seperti menjawab secara lisan atau bertulis, atau mendemonstrasikan, perubahan tingkah laku berkaitan dengan perkara-perkara yang telah dipelajarinya. Oleh itu, di dalam proses pengujian, pemerhatian dan ujian formal biasanya digunakan sebagai alat pengukuran. Proses pengujian biasanya dimulakan dari peringkat persediaan, diikuti dengan peringkat perlaksanaan ( pentadbiran ), dan diakhiri dengan peringkat pemeriksaan. Melalui proses pengujian ini, seseorang guru akan mengetahui sama ada murid-muridnya telah berjaya menguasai kemahiran atau memperolehi ilmu pengetahuan yang telah dipelajari.

Proses/prosedur yang sistematik bagi mengukur pencapaian pelajar yang biasanya dibuat secara bertulis. Tujuan pengujian ialah untuk menentukan pencapaian pelajar dalam sesuatu sesi pembelajaran.Pengujian dapat dianggap sebagai proses penyerahan set soalan yang piawai yang perlu dijawab, atau satu set instrumen bersama satu prosedur yang sistematik bagi mengukur sampel tingkah laku atau perubahan seseorang individu atau pelajar.
Menurut Cronbach (1970)
“Ujian ialah satu prosedur yang sistematik untuk memerhati perlakuan atau tingkah laku seseorang individu dan menjelaskannya dengan batuan skala bernombor, atau satu sistem yang berkategori”.
Contoh skala bernombor ialah angka 30/100 untuk ujian penglihatan, 100/120 untuk ujian kecerdasan (IQ Test) dan 80/100 bagi ujian pencapaian bagi sesuatu mata pelajaran seperti Sains. Manakala contoh sistem berkategori pula ialah “ekstrovert” atau “introvert” bagi ujian personaliti, atau “rabun warna” bagi ujian penglihatan. Kepentingan pengujian bagi mengukur perubahan tingkah laku pelajar seperti yang dinyatakan di atas, dikukuhkan oleh Milagros 1981, (dipetik dari Raminah, 1991) yang menegaskan bahawa:
“Ujian adalah suatu cara untuk mendapatkan contohan perlakuan yang diperlihatkan oleh murid di dalam keadaan yang dikawal atau ditentukan. Maklumat yang diperoleh daripadanya akan dijadikan dasar untuk membuat penilaian atau pengadilan”.
(Raminah 1991:2).
Hasil daripada pemarkahan jawapan pelajar, satu ukuran yang disebut sebagai “markah” akan diberikan kepada pelajar tersebut. Pengujian menjelaskan tahap berapa baiknya prestasi pelajar yang diuji. Proses pengujian lazimnya bermula dengan peringkat persediaan, diikuti pelaksanaan/ pentadbiran ujian dan berakhir dengan pemeriksaan skrip jawapan. Melalui pengujian inilah seseorang guru mengetahui sama ada pelajar-pelajarnya telah menguasai pengetahuan,kemahiran atau sikap yang ingin disampaikan guru.
Kesimpulannya, pengesanan hasil pengajaran dan pembelajaran boleh dibuat melalui pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat, yang dilaksanakan guru dalam bilik darjah. Justeru, kecekapan guru membangunkan alat pengujian amat penting, malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.

TUJUAN PENGUJIAN

Pengujian adalah sesuatu aktiviti yang penting dalam perancangan kurikulum. Diantara tujuan penting pengujian ini adalah seperti berikut.

1. Sebagai penggerak untuk mendorongkan murid-murid berusaha untuk belajar.
2.Menggerakkan murid-murid membuat ulangkaji sebelum ujian dijalnkan.
3. Sebagai suatu latihan yang formal untuk membantu murid-murid memperkukuhkan konsep atau kemahiran yang telah dipelajari.
4. keputusan ujian digunakan sebagai kriteria untuk menempatkan murid-murid dalam kumpulan yang sesuai.
5. keputusan ujian digunakan sebagai rekod prestasi dan rekod profil.
6. keputusan ujian digunakan untuk membuat penilaian.


Sejarah perkembangan pengujian menunjukkan bahawa ujian telah digunakan pada zaman Socrates untuk mengukur pembelajaran kanak-kanak. Sehingga sekarang, itulah fungsi dan tujuan utama sesuatu ujian. Dalam kehidupan kini, fungsi dan tujuan pengujian telah diluaskan. Di dalam bilik darjah, ujian dijalankan untuk memenuhi beberapa tujuan tertentu seperti berikut.

Memperoleh maklum balas tentang proses pengajaran dan pembelajaran. Dua jenis maklumat dapat diperoleh, iaitu maklumat tentang :
a) Keberkesanan guru. Misalnya, maklumat diperoleh tentang keberkesanan kaedah mengajar, aktiviti, dan bahan, serta kesesuaian personaliti guru sebagai pengajar da;am bilik darjah.
b) Hasil pembelajaran murid. Misalnya taraf pencapaian prestasi dan kemajuan serta sikap murid dapat ditentukan.

Memasukkan murid dalam kumpulan tertentu mengikut kriteria yang sesuai bagi sesuatu tujuan tertentu. Misalnya seperti berikut
a) Mengumpulkan murid dalam bilik darjah untuk menjalani kerja kumpulan seperti perbincangan dan projek.
b) Mengumpulkan murid mengikut kebolehan untuk menjalani tugas khas, contohnya pemulihan dengan murid yang lemah sahaja.

Memilih murid untuk tugas tertentu seperti
a) Mewakili sekolah atau kelas dalam sesuatu kuiz atau pertandingan.
b) Mendapat hadiah, tajaan, atau biasiswa.

Mengkategorikan murid, contohnya
a) Menempatkan murid dalam aliran tertentu seperti sains dan sastera.
b) Memutuskan gred sijilnya : cemerlang, kepujian, atau lulus.

Menggerakkan atau memotivasikan pembelajaran. Murid digalakkan belajar apabila ujian dijalankan dari semasa ke semasa. Murid akan belakar dengan konsisten dan ini akan membantu mengelakkan masalah pembelajaran murid daripada berhimpun sehingga mereka berasa kecewa dan kurang terdaya atau hilang minat untuk belajar. Lebih-lebih lagi, markah ujian merupakan maklum balas kepada murid tentang kemajuannya dalam sesuatu mata pelajaran, dan mereka akan terdorong untuk berusaha supaya lebih maju lagi dalam pembelajaran.

TUJUAN UJIAN.

Mengapa guru menguji pelajarnya? Kita boleh menyatakan bahawa tujuan utama ujian ialah untuk memperoleh maklumat berkaitan tingkah laku dan ciri tertentu pelajar ( Arshad Abd.Samad, 2004 ). Berdasarkan maklumat yang diperoleh melalui ujian tersebut, beberapa keputusan yang berbeza boleh dilakukan oleh guru. Terdapat lapan jenos keputusan yang berbeza yang boleh dibuat berasaskan maklumat yang diperoleh melalui ujian yang dijalankan seperti yang dinyatakan oleh Kubiszyn & Borich (2000) di bawah.

Pengajaran
Penggredan
Diagnostik
Pemilihan
Penempatan
Bimbingan dan Kaunseling
Program dan Kurikulum
Polisi pentadbiran


SKALA DALAM PENGUJIAN.

Skala Nominal

Sesetengah maklumat yang dikumpulkan hanya boleh dibahagikan kepada golongan sama-tak sama (similar-dissimilar). Contohnya lelaki-perempuan. Nombor boleh digunakan bagi menyatakan kelas tertentu tetapi tidak boleh bagi menyatakan jumlah. Jantina boleh dinyatakan sebagai menggunakan nombor, 1 = lelaki. 2 = perempuan.

Skala Ordinal

Bagi ukuran yang lebih tepat, pangkatan (ranking) banyak – kurang boleh digunakan. Contohnya pangkat yang paling tinggi hingga paling rendah dalam sesuatu ujian (susunan). Nombor yang digunakan untuk menunjukkan pangkat tidak memberikan hubungan kuantitatif atau jumlah yang tetap dan mutlak. Skala juga boleh menunjukkan murid itu cerdas ataupun sebaliknya.

Skala Selang

Skala selang lebih banyak mendatangkan faedah. Jarak antara dua selang adalah sama. Contohnya kalendar.

Skala Nisbah

Skala yang paling tepat bagi tujuan pengukuran. Mempunyai ciri-ciri dan hubungan dengan nombor yang sebenarnya. Skala ini mempunyai selang yang sama dan kosong, menggambarkan tiada perkara atau benda yang boleh diukur.


KRITERIA-KRITERIA UJIAN YANG BAIK.

Pengkelasan dan penjurusan para pelajar biasanya didasarkan pada pencapaian mereka dalam ujian-ujian yang telah mereka duduki. Keadaan ini memperlihatkan betapa penting dan berpengaruhnya sesuatu ujian kepada seseorang individu. Ujian boleh menentukan masa depan dan mencorakkan kerjaya seseorang. Disebabkan sesuatu ujian amat penting, maka sesuatu ujian itu mestilah dipastikan baik dan benar-benar boleh mendukung fungsinya sebelum dilaksanakan. Sesuatu ujian itu hanya dapat dikatakan baik dan benar jika ia memenuhi dua kriteria terpenting, iaitu kesahihan ( validity ) dan kebolehpercayaan ( reliability ).

Kesahihan

Sesuatu ujian itu dikatakan sahih jika ia dapat mengukur apa yang sebenarnya hendak diukur. Ujian untuk menentukan kebolehan membaca seharusnya mengukur kebolehan ini dan bukannya mengukur daya penglihatan seseorang murid atau pengetahuan lepasnya tentang topik yang dibaca. Ujian kebolehan menulis karangan seharusnya mengukur kebolehan ini dan bukannya mengukur keupayaan mengingat dan memberikan semula fakta-fakta. Sesuatu ujian itu mestilah mengukur kriteria yang hendak diukur. Ujian itu menguji secara tepat dan mencakupi perkara yang menjadi tujuan perlaksanaan sesuatu ujian. Dari segi isi pula, sesuatu ujian itu dikatakan memmpunyai kesahihan jika ia merupakan sampel yang boleh mewakili keseluruhan situasi dan perkara yang menjadi bahan sesuatu subjek.

Kebolehpercayaan.

Sesuatu ujian itu dikatakan boleh dipercayai jika ia bersifat kekal. Sesuatu ujian harus memberi suatu keputusan yang sama atau hampir sama jika diberi pada dua masa yang berlainan kepada pelajar yang sama. Contohnya, ujian kemahiran sesuatu aspek nahu harus memberi keputusan yang hampir sama atau sama jika diberi pada minggu yang berlainan, Jika sekiranya tidak ada proses pengajaran dan pembelajaran yang baharu berlaku. Jika sekiranya sesuatu ujian memberikan seorang pelajar gred A pada hari isnin dan gred D pada hari selasa, maka kedua-dua atau salah satunya tidak boleh dipercayai. Kadangkala faktor persekitaran boleh menurunkan darjah kebolehpercayaan sesuatu ujian. Ujian kefahaman melalui alat perakam yang diberi dalam suasana yang bising boleh menurunkan darjah kebolehpercayaan sesuatu ujian. Tentu sekali para mengambil ujian akan mendpaat markah yang lebih baik jika diberi pada keesokannya apabila suasana lebih tenang dan tidak ada gangguan bunyi dari persekitaran.
Di samping dua kriteria di atas, Brown ( 1980:211) memberi satu lagi syarat untuk membolehkan sesuatu ujian itu dianggap baik, iaitu ia mestilah praktikal. Ujian yang dibentuk mestilah dalam jangkauan pembelajaran yang diperuntukkan, maa yang dihadkan, mudah ditadbirkan, serta senang dimarkahkan dan dinilai. Sesuatu ujian yang memerlukan penggunaan komputer tentu sekali tidak praktikal untuk dilaksanakan di tempat yang tidak berkomputer. Ujian yang memerlukan belanja yang besar untuk dilaksanakan tentu sekali tidak praktikal bagi negara miskin yang jumlah pelajarnya ramai
C) PENILAIAN
KONSEP

Penilaian merujuk proses mentafsir atau memberi nilai yang bercorak kualitatif tentang sesuatu kemahiran bahasa berdasarkan jumlah markah pencapaian hasil daripada pengukuran yang telah dilakukan secara kuantitatif. Misalnya pencapaian murid tentang seuatu kemahiran bahasa itu boleh dinilai sebagai mencapai tahap cemerlang, baik, sederhana, lemah, ataupun sangat lemah berdasarkan sesuatu kriteria pemarkahan atau ciri tertentu yang telah disediakan terlebih dahulu oleh guru. Misalnya seorang murid yang mendapat jumlah markah sebanyak 95 % dalam sesuatu kemahiran bahasa mungkin dinilai sebagai mencapai tahap yang cemerlang dan seorang murid lain pula yang mendapat markah sebanyak 10% akan dinilai sebagai berada pada tahap yang lemah. Jadi, perkataan seperti cemerlang, baik, sederhana, lemah, dan sangat lemah yang digunakan dalam konteks ini adalah sebenarnya istilah penilaian yang diberikan secara kualitatif berasaskan pengukuran dan markah yang telah diperoleh dalam bentuk kuantitatif. Perlu diingatkan disini bahawa ada orang yang menggunakan istilah ujian, pengukuran, dan penilaian seolah-olah ketiga-tiganya merupakan sinonim ataupun perkataan-perkataan seerti. Ini adalah salah kerana ketiga-tiga perkataan ini adalah istilah teknikal yang bagi kita mempunyai maksud yang agak berlainan, sungguhpun pertalian. Di dalam buku Educational Evaluation and Decision Making yang disunting oleh D.Stufflebeam, penilaian ditakrifkan sebagai proses menentukan, mendapatkan, dan memberi maklumat yang berguna untuk membuat pertimbangan mengenai tindakan selanjutnya. Dalam konteks pendidikan pula, penialain ialah satu sistem dan proses yang meliputi aktiviti-aktiviti mengumpul maklumat tentang strategi dan aktiviti pengajaran dan pembelajaran, untuk membuat analisis, dan keputusan dengan tujuan mengambil tindakan yang sewajarnya, seperti merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran selanjutnya dengan cara yang lebih berkesan. Prosedur penilaian mengandungi aspek-aspek pengujian, pengukuran, penganalisaan dan penyimpulan. Prosedur penialain ini boleh dilaksanakan dalam lima peringkat seperti berikut.

Peringkat persediaan ujian
Peringkat pentadbiran ujian
Peringkat pemeriksaan dan pengukuran
Peringkat analisis
Peringkat interpretasi dan tindakan

Dalam keseluruhan usaha penilaian tentang sesuatu kemahiran bahasa, proses yang sering kita lakukan adalah seperti berikut.

UJI → UKUR → NILAI


DEFINISI

Penilaian merupakan satu proses untuk menghasilkan nilai kuantitatif untuk menentukan peringkat pencapaian dan kedudukan dalam pembelajaran. Penilaian merangkumi aspek pengujian dan pengukuran. Penilaian juga dapat didefinisikan sebagai satu proses/prosedur yang sistematik bagi membuat pertimbangan dalam menafsir hasil pengukuran, yang bertujuan untuk memberi maklumat tentang pencapaian akademik, kemahiran atau sikap.


TUJUAN PENILAIAN.

Berikut adalah merupakan tujuan bagi proses penilaian.

a) diagnosis
b) pencapaian
c) pemilihan & penempatan
d) bimbingan dan kaunseling


Diagnosis

Penilaian yang dijalankan oleh guru dalam bilik darjah akan dapat memberikan maklum balas kepada guru tentang tahap penguasaan pelajar terhadap pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar. Selain itu, penilaian ini juga dapat memberi maklum balas tentang masalah yang dihadapi pelajar dalam pembelajaran. Dengan itu, guru dapat mengenal pasti kemajuan seseorang pelajar, sama ada pada tahap yang sangat memuaskan, memuaskan, sederhana,lemah atau tidak ada sebarang kemajuan langsung. Daripada penilaian yang dijalankan juga, guru dapat mengenal pasti pelajar yang cepat/cergas, yang memerlukan aktiviti pengayaan dan pelajar yang lemah yang memerlukan aktiviti pemulihan. Guru juga perlu membuat keputusan sama ada untuk mengubah strategi pengajaran, supaya ia lebih bersesuaian dengan keperluan pelajar atau mengulang pelajaran dengan menggunakan strategi yang sama dan sebagainya. Penilaian yang dijalankan sepanjang tempoh pengajaran dan pembelajaran akan memperlihatkan kemajuan pelajar dalam jangka masa tertentu. Pengesanan kemajuan pelajar secara berterusan ini akan memberi maklum balas kepada guru tentang masalah yang dihadapi pelajar. Adakah pelajar mempunyai masalah dalam mempelajari dan menguasai pengetahuan dan kemahiran yang telah diajar? Sekiranya pelajar menghadapi masalah, guru akan menyelidik punca masalah tersebut. Maklumat berkenaan akan digunakan guru untuk mengubah pendekatan pengajaran atau menyediakan latihan yang khusus supaya masalah yang dihadapi pelajar dapat diatasi. Tanpa bantuan khas ini, pelajar-pelajar akan terus menghadapi masalah dan akibatnya mereka akan terus ketinggalan dalam pembelajaran.

Pencapaian

Penilaian yang dijalankan pada akhir sesi pengajaran dan pembelajaran dapat memberikan maklumat tentang tahap penguasaan para pelajar terhadap pengetahuan, kemahiran dan sikap yang ingin disampaikan guru. Selain itu, penilaian yang dijalankan pada akhir tempoh pengajian; misalnya pada akhir Tahun 6 (UPSR), Tingkatan 3 (PMR) dan Tingkatan 5 (SPM); adalah bertujuan untuk menentukan gred pencapaian para pelajar secara keseluruhan. Penilaian pada peringkat ini lebih bercorak formal dengan tujuan akhirnya untuk memberi sijil kepada pelajar. Hasil penilaian ini akan menunjukkan pencapaian akademik pelajar mengikut gred yang diberikan, seperti cemerlang, sederhana atau gagal. Pihak sekolah akan dapat menentukan keupayaan keseluruhan seseorang pelajar berdasarkan pencapaian yang ditunjukkan dalam peperiksaan yang diduduki untuk tindakan selanjutnya, seperti pemilihan dan penempatan.

Pemilihan dan Penempatan

Penilaian adalah penting sebelum pengajaran dan pembelajaran bermula kerana guru perlu meninjau sejauh manakah pelajar-pelajarnya menguasai pengetahuan dan kemahiran asas kepada tajuk yang hendak diajar. Misalnya, seseorang guru Bahasa Melayu yang akan mengajar pelajar bukan penutur asli bahasa Melayu, perlu mengetahui aspek pengetahuan dan kemahiran manakah yang telah mereka kuasai, seperti tatabahasa, perbendaharaan kata dan sebagainya. Maklumat ini penting untuk guru membuat keputusan dalam menentukan peringkat yang bersesuaian untuk memulakan pengajaran. Selain itu, guru juga dapat memilih pelajar untuk dikelompokkan dalam sesuatu kumpulan berasaskan tahap penguasaan mereka. Sekiranya penguasaan mereka berbeza, guru perlu menempatkan mereka mengikut tahap penguasaan masing-masing dan seterusnya merancang dan melaksanakan pengajaran mengikut keperluan mereka yang berbeza-beza itu. Dalam keadaan ini, tujuan penilaian ialah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut penguasaan pengetahuan dan kemahiran mereka.Selain memulakan sesi pengajaran, tujuan penilaian juga ialah untuk memilih dan menempatkan pelajar mengikut aliran tertentu. Misalnya, keputusan pelajar yang cemerlang dalam mata pelajaran sains memungkinkan ditempatkan dalam aliran sains atau mengikut kecenderungan seseorang murid berkenaan.

Bimbingan dan kaunseling

Penilaian juga dapat digunakan untuk tujuan bimbingan dan kaunseling kepada pelajar yang memerlukannya. Setiap pelajar sepatutnya mempunyai motivasi untuk belajar dan ia mungkin bersifat intrinsik/dalaman, iaitu motivasi daripada dalam diri pelajar itu sendiri. Contohnya, mereka yang belajar disebabkan ingin mengetahui sesuatu dengan mendalam, akan memperoleh pencapaian yang baik dan seterusnya akan dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Selain motivasi yang bersifat intrinsik ini, terdapat pula motivasi yang bersifat ekstrinsik/luaran, iaitu motivasi daripada luar, seperti dorongan daripada ibu bapa/rakan sebaya atau nasihat daripada guru/guru besar.

TUJUAN DAN KEPENTINGAN

Selain itu, beberapa tujuan lain dan kepentingan proses penialaian ialah seperti
berikut.
a) Membantu guru mengetahui keupayaan penguasaan pelajar.
b) Membantu guru dalam membuat perbandingan antara seseorang pelajar dengan rakan-rakannya atau antara kelas tersebut dengan kelas yang lain.
c) Membuat perbandingkan pencapaian pelajar dalam subejk tersebut dengan pencapaian dalam subjek lain.
d) Menentukan pelajar yang tinggi keupayaannya dan yang amat lemah keupayaannya dan lemah pencapaiannya
e) Membantu guru dalam menentukan pengayaan dan pemulihan bagi pelajar yang berkenaan.
f) Membantu guru dalam membuat jangkaan terhadap potensi atau bakat pelajar terhadap pembelajaran.
g) Membolehkan guru menilai bahan-bahan dan teknik serta kaedah pengajaran mereka.
h) Melalui ujian penilaian yang dilakukan guru dapat berusaha meningkatkan keberkesanan pengajaran mereka.
i) Pelajar berpeluang mengetahui kelemahan dalam sesuatu kemahiran atau bidang dan segera memperbaikinya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails