BLOGGER TEMPLATES - TWITTER BACKGROUNDS

w-e-l-c-o-m-e


Saturday, February 5, 2011

Penyediaan Buku Rekod Mengajar


Penyediaan Buku Rekod Mengajar

SESI PERSEKOLAHAN BERMULA

Seperti biasa, bila memasuki sesi tahun persekolahan yang baru, semua guru akan sibuk melengkapkan segala maklumat dalam buku rekod mengajar yang baru.

Bagi yang kreatif, berbagai cara dilakukan untuk menampakan buku rekodnya kelihatan cantik dan menarik disamping kemas dan tersusun. Namun, ada juga sebilangan guru-guru yang menyediakan buku rekod mengajarnya sekadar kemas tetapi lengkap dan berinfo. Dan ada juga yang seperti melepaskan batuk di tangga. Namun sangat sedikit sekali kita dapat melihat buku rekod mengajar yang cantik, menarik, kemas, tersusun, lengkap dan berinfo.

RECORD BOOK - sejarah diri sendiri

Saya teringat sewaktu saya mula-mula minggu pertama menjadi guru sandaran tidak terlatih (GSTT) di SMK Taman Daya 3 Johor Bahru pada awal tahun 2004, sebelum memasuki j-QAF. Ketika itu saya pernah ditegur oleh pengetua kerana tidak menyediakan rekod pengajaran sebelum masuk ke kelas. Sebaliknya saya menulis buku rekod pengajaran selepas tamat sesuatu pengajaran di kelas. Bila tindakan saya itu dipersoalkan oleh pengetua, saya memberi alasan bahawa suatu penulisan tentang peristiwa yang telah berlaku akan dinamakan rekod. Manakala suatu penulisan tentang peristiwa yang belum berlaku itu pula dinamakan rancangan. So, bila buku rekod biru itu diberi nama REKOD PENGAJARAN, sudah tentu ianya akan ditulis selepas pengajaran.

Begitu jahilnya saya ketika itu tentang peranan dan tugas guru ketika itu. Memang masa itu saya tidak pernah belajar bagaimana untuk menjadi guru. Minggu pertama menjadi guru sandaran tidak terlatih adalah sesuatu yang tidak dapat saya lupakan sampai bila-bila. Bukan sahaja tidak tahu tentang rekod pengajaran, malah tidak pandai untuk berkata-kata di hadapan ratusan murid di perhimpunan.

ISU

Pelbagai isu yang boleh kita dengar yang melibatkan buku rekod penyediaan mengajar ni daripada guru-guru dipelbagai sekolah. Lain padang lain belalang. Lain sekolah, lain pula cara penyediaan buku rekodnya.

ISU 1 : Penggunaan pen.
Memandangkan buku rekod mengajar ini adalah dokumen rasmi kerajaan, yang merupakan juga lesen besar untuk seseorang itu menjadi seorang guru yang layak mengajar di kelas, maka penggunaan pen yang paling sesuai adalah dengan menggunakan pen mata bola bewarna hitam. Hanya satu warna sahaja yang sesuai digunakan.

Namun terdapat juga dikalangan guru-guru kita yang menggunakan pelbagai warna pen seperti biru, merah dan hijau. Tidak kurang juga ada yang menggunakan pensil-pensil warna untuk mencantikkan tulisan dalam buku rekodnya. Bagi saya ini amat tidak bersesuaian dengan taraf buku tersebut sebagai dokumen rasmi kerajaan.

Sekiranya tulisan guru dirasakan agak kurang menarik dan sukar difahami, guru boleh menggunakan alatan teknologi semasa untuk penulisan buku rekod mengajarnya. Mencetak dan menampalnya di dalam buku rekod bukanlah menjadi satu kesalahan dalam penyediaan buku rekod. Ini dinyatakan dalam pekeliling ikhtisas 3/1999 : Penyediaan Buku Rekod Mengajar. Namun cara ini perlu mendapat kebenaran dan persetujuan daripada pengetua atau guru besar sebelum ianya dilaksanakan.

ISU 2 : Hiasan yang berlebihan.
Biasanya hiasan pada buku rekod ini dapat kita lihat pada buku-buku rekod guru perempuan dan guru-guru yang terlalu kreatif. Antara hiasan yang agak keterlaluan adalah dengan menampal renda-renda di sekeliling buku. Pernah saya terdengar komen seorang pemantau buku rekod mengajar yang menyatakan, "kenapa kad pengenalan kita tu tak de orang letak renda-renda? Inikan dokumen rasmi. Renda-renda yang keterlaluan itu sepatutnya tidak perlu".

Hiasan berbentuk lukisan dalam buku rekod pengajaran yang tiada kena mengena langsung dengan isi pengajaran (semata-mata hiasan) juga tidak sepatutnya ada dalam buku rekod mengajar. Sebagai contoh lukisan awan yang melingkari tajuk. Ini menjadikan seolah-olah dokumen rasmi kerajaan tersebut seperti buku latihan murid atau buku nota yang perlu kepada hiasan tambahan untuk menarik minat apabila ianya di baca semula.

ISU 3 : Pembalut buku.
Ada sesetengah sekolah yang tidak membenarkan buku rekod mengajar guru dibalut dengan pembalut hadiah atau apa-apa kertas bagi tujuan mencantikkannya sehingga menutup penuh kulit asal buku tersebut. Pembalut yang paling sesuai untuk membalut buku rekod mengajar ini adalah pembalut sedia ada yang bewarna jernih atau transparent.

SP, HSP & RPT

Sukatan Pelajaran (SP), Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) & Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) adalah perkara penting yang perlu ada dalam buku rekod mengajar guru. Namun begitu, tidak dinafikan ramai dikalangan guru-guru tidak begitu faham dan keliru tentang ketiga-tiga perkara tersebut.

Sukatan Pelajaran (SP)
SP meliputi semua tajuk dan semua tahun aliran untuk satu-satu mata pelajaran.
Guru pelu menyediakan SATU sahaja SP untuk satu mata pelajaran (dari tahun 1 hingga 6)
Contoh : Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Arab tahun 3, 4 dan 5 dan mata pelajaran Pendidikan Islam untuk tahun 1 dan 2.
Maka saya perlu menyediakan satu naskhah SP Bahasa Arab dan satu naskhah SP Pendidikan Islam. Jumlah SP : 2 SP sahaja.

Huraian Sukatan Pelajaran (HSP)
HSP merupakan huraian tajuk sesuatu tahun aliran.
Guru perlu menyediakan HSP sesuatu mata pelajaran mengikut bilangan aliran yang di ajar.
Contoh ; Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Arab tahun 3, 4 dan 5 dan mata pelajaran Pendidikan Islam untuk tahun 1 dan 2.
HSP yang perlu saya sediakan adalah HSP Bahasa Arab tahun 3, 4 dan 5, dan HSP Pendidikan Islam tahun 1 dan 2. Jumlah HSP : 5

Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT)
RPT merupakan perancangan pengajaran mata pelajaran yang disusun mengikut perancangan melalui minggu 1 hingga 36.
Guru perlu menyediakan RPT seperti mana guru menyediakan HSP.
Contoh ; Saya mengajar mata pelajaran Bahasa Arab tahun 3, 4 dan 5 dan mata pelajaran Pendidikan Islam untuk tahun 1 dan 2.
RPT yang perlu saya sediakan adalah RPT Bahasa Arab tahun 3, 4 dan 5, dan RPT Pendidikan Islam tahun 1 dan 2. Jumlah RPT : 5

MAKLUMAT TAMBAHAN

Beberapa maklumat tambahan boleh disertakan di dalam buku rekod mengajar untuk menjadikan buku rekod tersebut lebih lengkap dan berinfo. Antara maklumat tambahan tersebut adalah :

1. Misi, visi, falsafah dan moto sekolah di tampal di awal buku.
2. Senarai nama murid yang diajar di tampal di ruangan RPT.
3. Senarai buku teks dan buku rujukan yang digunakan guru dalam pengajaran juga boleh ditampal di ruangan RPT.
4. Senarai markah TOV murid.
5. dan lain-lain yang difikirkan sesuai.

JANGAN LUPA

Jangan lupa untuk sentiasa mengemaskini pada setiap minggu 2 perkara di bahagian akhir buku rekod.

1. Aktiviti Guru
2. Pertemuan dan Perbincangan Profesional

Untuk diawal tahun ni, antara yang kita boleh tulis di ruangan aktiviti adalah gotong royong mengemas bilik darjah, bilik-bilik khas mahupun persekitaran sekolah. Manakala di ruangan pertemuan dan perbincangan profesional pula sudah tentulah mesyuarat-mesyuarat pengurusan 2009 yang sudah tentu kita telah sama-sama hadiri, rata-ratanya seminggu sebelum sesi persekolahan bermula, selain kursus-kursus.

Itulah serba sedikit yang saya tahu dan boleh dituliskan untuk tajuk penyediaan buku rekod mengajar ni. Dilain masa, insyaAllah saya akan cuba pula berkongsi maklumat tentang cara penulisan buku rekod khasnya untuk mata pelajaran Bahasa Arab.


SUMBER :

http://miorjqaf.blogspot.com/2009/01/penyediaan-buku-rekod-mengajar.html

0 comments:

Related Posts with Thumbnails